Labels

Tuesday, July 19, 2016

Di mana ketenangan yang hakiki?


Fitrah Manusia

Fitrah manusia itu sentiasa ingin mencari ketenangan. Sesetengah orang merasakan bahawa mendapat kekayaan itu ketenangan baginya, ada yang menganggap seandainya mendapat zuriat yang ramai itu ketenangan baginya, dan ada juga memikirkan bahawa belajar sehingga ke Ph.D itu ketenangan baginya.

Namun, cuba kita melihat melalui ruang lingkup yang lebih besar. Seandainya kita menggunakan kekayaan sebagai kunci untuk mendapat ketenangan, bagaimana jika tiba-tiba harta seseorang itu dicuri, rumahnya dirompak, ada pihak yang mensabotaj syarikatnya, ataupun perniagaannya tidak mendatangkan keuntungan, bahkan kerugian. Adakah masih ada ketenangan baginya?

Jika anak-anak menjadi kayu ukur kepada ketenangan, bagaimana sekiranya anak yang ditatang penuh dengan kasih sayang sejak kecil dan akhirnya pabila besar mereka menyingkirkan kedua ibu bapa daripada hidup mereka, ataupun mereka menjadi penjenayah, terlibat dalam gejala penagihan dadah dan seumpamanya. Adakah tidak layak ketenangan itu dirasai olehnya?

Kita lihat pula seandainya akademik menjadi penanda aras kepada ketenangan. Benar, melalui ilmu akan menjadikan hidup kita lebih teratur dan masa depan semakin cerah. Namun, bagaimana jika kita bergraduasi dengan pointer 4 rata, namun setelah itu kita menganggur bertahun-tahun, ataupun kita bekerja di mana-mana syarikat namun dijadikan khadam buat mereka pula. Adakah masih ada ketenangan buat mereka?


Kadang-kadang apa yang berlaku dalam laluan kehidupan ini tidak dapat kita jangkakan

Jalan pintas kepada ketenangan

Pabila apa yang dicita-citakan tidak kesampaian, ataupun ada ujian mahupun dugaan yang menimpa, kita akan mulai jatuh, kecewa dan terperangkap dalam kemurungan bersendiri. Lalu, untuk meneutralkan diri kembali, kita cuba untuk mencari 'ubat' kepada hati dengan menonton drama ataupun filem komedi. Ada yang pergi membawa diri jauh dari insan sekeliling, ada juga yang memilih untuk bergelak ketawa dengan sahabat-sahabat, agar masalah yang ada dapat dilupakan.

Tetapi.. semua itu hanyalah ketenangan yang sementara. Ketenangan yang muncul pabila masalah itu dilupakan buat seketika, ketenangan yang hadir tika dirinya lari dari realiti. Dan akhirnya saat perlu bersemuka dengan dugaan itu jiwanya kembali gundah-gulana, bingung dengan apa yang berlaku, lalu mula menyoal "mengapa aku yang perlu hadapi semua ini? kenapa manusia lain boleh hidup berbahagia dengan kehidupan mereka?' soal hati meronta-ronta.


Lalu..masih wujudkan ketenteraman yang abadi?

Hakikatnya, ketenangan yang berkekalan itu ada pabila kita meyakini keberadaan Tuhan bersama kita. Di saat kita jatuh, hati itu tahu bahawa masih ada harapan buatnya. Jika kita kecewa, sedarlah tidak semua yang kita merasakan terbaik buat diri kita, benar-benar baik buat kita. Hadith Rasulullah saw yang memberi bibik ketenangan buat seorang mukmin: 

    "Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya baik baginya dan kebaikan itu tidak dimiliki kecuali oleh seorang mukmin. Apabila ia mendapat kesenangan ia BERSYUKUR dan itulah  yang terbaik untuknya. Dan apabila mendapat musibah ia BERSABAR dan itulahyang terbaik untuknya." (shahih muslim no. 7500 hal. 1295)

Lalu, ketenangan apa lagi yang kita mahukan seandainya kita tahu bahawa ada yang menjaga urusan kita, yang tahu baik dan buruk buat kita, tak lain dan tak bukan Dialah Sang Pencipta.


Senyum.

1 comment: